Bertepatan
dengan apa yang ditegaskan oleh Allah swt :
وَمَا
تُقَدِّمُواْ لأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ اللّهِ إِنَّ اللّهَ بِمَا
تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Ertinya : "Dan
kebaikan apa saja yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat
pahalanya pada sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu
kerjakan. (Al-Baqarah : 110)
Benar lagi jelas,
ayat ini bukan sahaja memberitahu perihal kebaikan balasan di Akhirat, malah
juga balasan kebaikan di dunia lagi.
Pertama kebaikannya
itu akan dirasakan oleh pelaku itu sendiri. Dia sendiri akan berasa lega,
gembira dan lapang, perasaan tertekan dan stress berkurangan yang bukan
hanya boleh meningkatkan potensi kesihatan tubuh fizikal, malah juga ketenangan spiritual seseorang.
Lebih hebat, aura
kebaikan dirinya itu boleh terpindah kepada orang di sekelilingnya seperti
isterinya, anaknya, keluarga, jiran-jiran serta rakan setugas. Mereka turut
boleh merasa aman, damai serta selesa.
Nabi s.a.w pernah
mengingatkan berkenaan kesan dan pengaruh kebaikan seseorang yang boleh
berpindah kepada orang di sekitarnya.
الرجل
على دين خليله فلينظر أحدكم من يخالل
Ertinya
: "Agama seseorang itu adalah mengikut rakannya, maka telitilah seseorang yang
ingin dijadikan rakan baiknya" ( Riwayat Abu Daud)
Demikian juga
sabdaan Nabi :
إنما مثل
الجليس الصالح وجليس السوء، كحامل المسك ونافخ الكير، فحامل المسك إما أن يُحذيك،
وإما أن تبتاع منه، وإما أن تجد منه ريحاً طيبة، ونافخُ الكير إما أن يحرق ثيابك،
وإما أن تجد منه ريحاً منتنة
Ertinya :
"Perumpaan orang yang baik dan orang yang jahat itu adalah seperti penjual
wangian dan tukang bakaran besi, Maka penjual wangian (kamu akan dapati
kebaikan baunya) sama ada melalui pemberiannya, atau kamu beli darinya atau
atau tempiasan baunya, adapun pembakar besi, sama ada ia akan membakar bajumu
atau mendapat baunya yang busuk.." ( Riwayat Al-Bukhari)
Jelas, berpunca dari
kebaikan satu orang manusia, ia boleh bercambah kepada yang lain dan dirinya
menjadi semakin selesa dan gembira. Maka jadikan diri kita sebagai TITIK MULA
tersebut. Jangan beralasan dan asyik mengharapkan orang lain untuk memulakan.
Memulakan sesuatu yang baik ditengah suasana keburukan adalah sifat mulia tugas
kenabian. Ia kerap dirasakan pelik dan asing lalu dikritik dan ditertawa oleh
sang penjahat.
Tiada sebarang
ruginya untuk mengelak diri dari maksiat dan keburukan, serta bersikap lurus
dan amanah dalam setiap urusan kehidupan kita bersama manusia lain.
Mengapa perlu kita
menipu sedangkan ia tidak disukai jika terkena kita sendiri?.
Mengapa perlu memaki
hamun sedang ia pedih buat orang lain dan juga diri kita?.
Mengapa perlu
merasuah dan mengambil rasuah sedang ia hanya akan merosakan diri kita sendiri
serta mengalakkan kehancuran dalam bisnes, hancur pula nilai kualiti.?
Bukankah bagus dan
terpuji, jika kita mampu memahami hakikat itu di minda dan hati kita, lalu
menjauhi keburukan yang tidak lain hanya akan meninggalkan stress kepada
mental, fizikal dan spiritual kita. Namun mengapa masih keburukan menjadi
pilihan?!.
Cuba fikir-fikrikan
dalam-dalam dan jauh-jauh ke dalam diri kita, mencari sebutir iman yang masih
berbaki, suburkan ia..
Di United Kingdom,
beberapa kawasan yang tinggi rekod jenayahnya MENJADIKAN KOS PELBAGAI JENIS
INSURAN TURUT TINGGI. Kawasan seperti Manchester, Birmingham, London dan
sebagainya adalah kawasan bandar yang dihuni oleh pelbagai bangsa dan sikap,
maka pelbagai pula jenayahnya. Bertambah rendah kadar jenayah, semakin rendah
kos insuran yang ditanggung, seperti di Lampeter, Wales. Bukankah indah
sebegitu.
Lebih rendah kos
rasuah perniagaan, maka lebih murah kos sesebuah pengurusan dan pembuatan,
Bukankah lebih baik?
Lebih rendah bilangan
jenayah setempat, rendah pula tahap kebimbangan ibu bapa dan penduduk. Hasilnya
masyarakat yang kurang tekanan dapat dihasilkan. Bukankah ia lebih baik?