Sunday 22 April 2012

KEBAIKAN MELAHIRKAN KEBAIKAN

Bertepatan dengan apa yang ditegaskan oleh Allah swt :
وَمَا تُقَدِّمُواْ لأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ اللّهِ إِنَّ اللّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Ertinya : "Dan kebaikan apa saja yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahalanya pada sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan. (Al-Baqarah : 110)
Benar lagi jelas, ayat ini bukan sahaja memberitahu perihal kebaikan balasan di Akhirat, malah juga balasan kebaikan di dunia lagi.
Pertama kebaikannya itu akan dirasakan oleh pelaku itu sendiri. Dia sendiri akan berasa lega, gembira dan lapang, perasaan tertekan dan stress berkurangan yang bukan hanya boleh meningkatkan potensi kesihatan tubuh fizikal, malah juga ketenangan spiritual seseorang.
Lebih hebat, aura kebaikan dirinya itu boleh terpindah kepada orang di sekelilingnya seperti isterinya, anaknya, keluarga, jiran-jiran serta rakan setugas. Mereka turut boleh merasa aman, damai serta selesa.
Nabi s.a.w pernah mengingatkan berkenaan kesan dan pengaruh kebaikan seseorang yang boleh berpindah kepada orang di sekitarnya.
 الرجل على دين خليله فلينظر أحدكم من يخالل
Ertinya : "Agama seseorang itu adalah mengikut rakannya, maka telitilah seseorang yang ingin dijadikan rakan baiknya" ( Riwayat Abu Daud)
Demikian juga sabdaan Nabi :
إنما مثل الجليس الصالح وجليس السوء، كحامل المسك ونافخ الكير، فحامل المسك إما أن يُحذيك، وإما أن تبتاع منه، وإما أن تجد منه ريحاً طيبة، ونافخُ الكير إما أن يحرق ثيابك، وإما أن تجد منه ريحاً منتنة


Ertinya : "Perumpaan orang yang baik dan orang yang jahat itu adalah seperti penjual wangian dan tukang bakaran besi, Maka penjual wangian (kamu akan dapati kebaikan baunya) sama ada melalui pemberiannya, atau kamu beli darinya atau atau tempiasan baunya, adapun pembakar besi, sama ada ia akan membakar bajumu atau mendapat baunya yang busuk.." ( Riwayat Al-Bukhari) 
Jelas, berpunca dari kebaikan satu orang manusia, ia boleh bercambah kepada yang lain dan dirinya menjadi semakin selesa dan gembira. Maka jadikan diri kita sebagai TITIK MULA tersebut. Jangan beralasan dan asyik mengharapkan orang lain untuk memulakan. Memulakan sesuatu yang baik ditengah suasana keburukan adalah sifat mulia tugas kenabian. Ia kerap dirasakan pelik dan asing lalu dikritik dan ditertawa oleh sang penjahat.
Tiada sebarang ruginya untuk mengelak diri dari maksiat dan keburukan, serta bersikap lurus dan amanah dalam setiap urusan kehidupan kita bersama manusia lain.
Mengapa perlu kita menipu sedangkan ia tidak disukai jika terkena kita sendiri?.
Mengapa perlu memaki hamun sedang ia pedih buat orang lain dan juga diri kita?.
Mengapa perlu merasuah dan mengambil rasuah sedang ia hanya akan merosakan diri kita sendiri serta mengalakkan kehancuran dalam bisnes, hancur pula nilai kualiti.?
Bukankah bagus dan terpuji, jika kita mampu memahami hakikat itu di minda dan hati kita, lalu menjauhi keburukan yang tidak lain hanya akan meninggalkan stress kepada mental, fizikal dan spiritual kita. Namun mengapa masih keburukan menjadi pilihan?!.
Cuba fikir-fikrikan dalam-dalam dan jauh-jauh ke dalam diri kita, mencari sebutir iman yang masih berbaki, suburkan ia..
Di United Kingdom, beberapa kawasan yang tinggi rekod jenayahnya MENJADIKAN KOS PELBAGAI JENIS INSURAN TURUT TINGGI. Kawasan seperti Manchester, Birmingham, London dan sebagainya adalah kawasan bandar yang dihuni oleh pelbagai bangsa dan sikap, maka pelbagai pula jenayahnya. Bertambah rendah kadar jenayah, semakin rendah kos insuran yang ditanggung, seperti di Lampeter, Wales. Bukankah indah sebegitu.
Lebih rendah kos rasuah perniagaan, maka lebih murah kos sesebuah pengurusan dan pembuatan, Bukankah lebih baik?
Lebih rendah bilangan jenayah setempat, rendah pula tahap kebimbangan ibu bapa dan penduduk. Hasilnya masyarakat yang kurang tekanan dapat dihasilkan. Bukankah ia lebih baik?

No comments:

Post a Comment